Dua surat pada 2021 dan 2022 menunjukkan Tengku Taufik diarah menyelesaikan isu PETRONAS dan Kingtime, namun Tengku Taufik Presiden & CEO Petronas ingkar arahan sanggup kalah di mahkamah untuk bayar lebih RM1 bilion
SIRI SKANDAL PETRONAS–PETROFAC: FASA BAHARU
Selama lebih tiga tahun, The Corporate Secret konsisten membongkar pelbagai dokumen, kronologi dan persoalan mengenai hubungan PETRONAS–Petrofac dalam Skandal ‘Big Ben’ yang sebelum ini dinafikan oleh pelbagai pihak. Bermula dengan pendedahan mengenai kontrak Petrofac, diikuti tindakan undang-undang terhadap portal ini, percubaan memadamkan artikel melalui dakwaan pelanggaran tanda dagangan, sehinggalah kekalahan Petronas Carigali dalam litigasi paten dengan Kingtime International Ltd, setiap episod menambah satu lagi lapisan kepada kontroversi yang kini memasuki fasa baharu.
Mahkamah Persekutuan kemudiannya mengekalkan keputusan yang memihak kepada Kingtime, sekali gus membuka laluan kepada penentuan ganti rugi dalam kes tersebut.
Apa sebenarnya berlaku? Semua ini tidak mungkin berlaku jika Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz berani mengambil tindakan terhadap Petrofac. Siri pendedahan sebelum ini jelas membuktikan hubungan Taufik Tengku dengan Petrofac.
Hari ini, The Corporate Secret mendedahkan beberapa dokumen penting yang belum pernah didedahkan kepada umum, termasuk dua surat rasmi daripada Kingtime International Limited kepada Perdana Menteri 9, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, masing-masing bertarikh 24 Ogos 2021 dan 20 Jun 2022.
Kedua-dua surat tersebut mengandungi catatan minit rasmi Perdana Menteri yang mengarahkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, supaya mengambil tindakan dengan arahan: “CEO PETRONAS, sila selesaikan isu ini” bertarikh 21 September 2021 dan “Presiden PETRONAS, sila selesaikan isu ini” bertarikh 4 Ogos 2022.






Dokumen-dokumen ini menunjukkan bahawa isu berkenaan telah dibawa secara rasmi ke perhatian pengurusan tertinggi PETRONAS jauh sebelum pertikaian tersebut melalui proses litigasi. Pendedahan ini sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tindakan susulan yang diambil oleh pihak PETRONAS selepas menerima arahan tersebut, termasuk bagaimana cadangan penyelesaian yang dikemukakan oleh Kingtime dinilai sebelum pertikaian itu akhirnya berlarutan sehingga melalui keseluruhan proses mahkamah.
Lebih penting, dokumen ini turut memberi konteks baharu terhadap siri laporan yang pernah diterbitkan oleh The Corporate Secret pada tahun 2023 berhubung dakwaan pemberian kontrak PETRONAS kepada Petrofac, yang kemudiannya menjadi asas kepada surat tuntutan (Letter of Demand) yang dihantar oleh PETRONAS melalui firma guamannya. Kini, selepas perkembangan terkini dalam litigasi melibatkan Kingtime, dokumen-dokumen yang didedahkan ini dijangka membuka ruang kepada penelitian semula terhadap kronologi keputusan dan tindakan yang diambil oleh pihak berkaitan.

Pendedahan dua surat rasmi Kingtime International Limited kepada Perdana Menteri Kesembilan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob membuka dimensi baharu dalam kronologi pertikaian pelanggaran paten Projek Sepat MOPU serta cara ia dikendalikan oleh pengurusan tertinggi Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).
Surat pertama bertarikh 24 Ogos 2021, diikuti surat susulan pada 20 Jun 2022. Kedua-duanya ditujukan kepada Perdana Menteri ke-9 dan mengandungi catatan minit tulisan tangan yang merujuk perkara tersebut kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS untuk perhatian serta tindakan lanjut.
Namun persoalan yang lebih penting ialah apakah tindakan susulan yang diambil oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz, selepas kedua-dua surat itu dirujuk kepadanya. Adakah cadangan penyelesaian yang dikemukakan oleh Kingtime pernah dinilai secara menyeluruh? Jika ya, apakah pertimbangan yang menyebabkan PETRONAS tetap memilih untuk meneruskan litigasi sehingga akhirnya tewas di Mahkamah Persekutuan dan kini berdepan proses penentuan ganti rugi?
Pendedahan ini juga memberi konteks baharu kepada persoalan yang telah lama dibangkitkan oleh The Corporate Secret. Sekiranya isu tersebut telah dibawa ke perhatian pengurusan tertinggi PETRONAS sejak 2021 dan sekali lagi pada 2022,
Apakah tindakan yang diambil oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz, selepas perkara itu dirujuk kepadanya?
Mengapakah pertikaian itu tidak diselesaikan ketika ruang masih terbuka? Adakah semua keputusan yang dibuat sepanjang tempoh berkenaan mematuhi prinsip tadbir urus korporat, pengurusan risiko dan proses membuat keputusan yang sewajarnya?
Amaran pertama pada 2021– Bayaran pelanggaran Paten
Dalam surat bertarikh 24 Ogos 2021, Kingtime memaklumkan bahawa ia merupakan pemilik teknologi pembangunan minyak dan gas luar pesisir, khususnya teknologi bagi medan marginal.
Kingtime mendakwa Petrofac telah menggunakan teknologi berpatennya secara salah dalam Projek Sepat pada 2010. Surat itu merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Julai 2018 yang memihak kepada Kingtime dalam tindakannya terhadap Petrofac, sebelum keputusan tersebut dikatakan kekal selepas proses rayuan.
Menurut surat itu, Petrofac kemudiannya memindahkan aset Projek Sepat kepada PETRONAS pada 2011 dengan bayaran sebanyak USD280 juta (RM1.14 bilion). Kingtime mendakwa penggunaan berterusan aset berkenaan menyebabkan PETRONAS turut terdedah kepada tuntutan pelanggaran paten.
Pada ketika itu, Kingtime menganggarkan pertikaian tersebut berpotensi mendedahkan PETRONAS kepada liabiliti yang amat besar. Menurut anggaran syarikat itu, PETRONAS berdepan potensi liabiliti sebanyak USD270 juta (kira-kira RM1.10 bilion), manakala tuntutan terhadap Petrofac dianggarkan sekitar USD65 juta (kira-kira RM265 juta). Secara keseluruhannya, nilai potensi tuntutan mencecah USD335 juta (kira-kira RM1.36 bilion). Bagaimanapun, Kingtime pada masa itu turut mengemukakan cadangan penyelesaian sebanyak USD170 juta (kira-kira RM692 juta). Anggaran tersebut menunjukkan skala kewangan pertikaian berkenaan serta implikasi besar yang berpotensi ditanggung oleh pihak-pihak terlibat sekiranya penyelesaian tidak dicapai pada peringkat awal.
Kingtime turut mendakwa liabiliti PETRONAS meningkat sekitar USD33,325 sehari selagi aset berkenaan terus digunakan.
Bird & Bird, sebuah firma guaman bebas yang berpengkalan di Singapura, telah mengira bahawa keuntungan yang berkaitan ditambah dengan faedah berjumlah kira-kira USD 287 juta.

Lebih penting, Kingtime menyatakan PETRONAS mempunyai hak kontrak untuk mendapatkan indemniti atau ganti rugi daripada Petrofac sekiranya PETRONAS didapati bertanggungjawab terhadap pelanggaran paten tersebut.
Tawaran baru penyelesaian dikurangkan pada 2022
Hampir 10 bulan kemudian, Kingtime mengutus surat kedua bertarikh 20 Jun 2022.
Ketika itu, perbicaraan penuh pertikaian antara Kingtime dan PETRONAS telah ditetapkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 hingga 15 Julai serta 18 hingga 22 Julai 2022.
Perbandingan angka tuntutan seperti berikut:

Walaupun potensi tuntutan meningkat sebanyak USD17 juta, Kingtime menurunkan tawaran penyelesaian global daripada USD170 juta kepada USD130 juta (RM529.1 juta)
Kingtime menyifatkan jumlah itu sebagai penyelesaian penuh dan muktamad antara Kingtime, PETRONAS dan Petrofac, tanpa pengakuan liabiliti oleh PETRONAS. Surat tersebut turut merujuk Seksyen 3 Akta Pembangunan Petroleum 1974 mengenai kedudukan PETRONAS yang tertakluk kepada kawalan dan arahan Perdana Menteri.
Mengapa pertikaian masih diteruskan?
Kedua-dua surat menunjukkan pengurusan PETRONAS telah diberikan peluang untuk menilai penyelesaian sebelum perbicaraan diteruskan. Namun, pertikaian itu tidak diselesaikan seperti yang dicadangkan Kingtime. Tengku Taufik Presiden dan CEO Petronas terus ingkar arahan PM 9 Dato’ Sri Ismail Sabri dari surat pertama dan kedua.
Pada September 2025, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Kingtime, mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi terdahulu dan menolak tuntutan balas PETRONAS untuk mencabar kesahan paten berkenaan. Mahkamah turut dilaporkan memerintahkan Petronas Carigali membayar kos RM950,000 serta memulangkan RM800,000 kepada Kingtime, sebelum perkara itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi penilaian ganti rugi.
Angka lebih RM1 bilion yang sering disebut merupakan anggaran potensi pendedahan kewangan berasaskan tuntutan asal dan pengiraan Kingtime. Oleh itu, kos mungkin lebih tinggi selepas keputusan mahkamah. Persoalan lebih besar mengapa Tengku Taufik mempertahankan Petrofac sebagai keputusan komersial terbaik untuk PETRONAS? Sedangkan beliau tahu isu pelanggaran paten oleh Petrofac telah pun diputuskan dalam prosiding terdahulu?
Adakah PETRONAS melindungi Petrofac?
The Corporate Secret sebelum ini berulang kali mempersoalkan mengapa PETRONAS didakwa tidak menguatkuasakan klausa indemniti terhadap Petrofac.
Menurut surat Kingtime, PETRONAS pernah memberi amaran secara bertulis bahawa ia akan bergantung kepada klausa indemniti dalam kontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan, Pemasangan dan Pentauliahan atau EPCIC bagi mendapatkan perlindungan terhadap liabiliti pelanggaran paten.
Indemniti ataupun gantirugi yang harus dibayar kepada pemunya hak paten adalah bernilai USD154 juta iaitu 55% daripada USD 280 juta. Petronas perlu membayar kembali nilai yang sepatutnya dibayar kepada pemegang paten kerana menggunakan hak paten mereka.
Surat Petronas Carigali Sdn Bhd rujukan DPG/.101.08/2012/123 bertarikh 19 November 2012 sudah jelas arahan Petronas menggunakan hak indemniti bahawa semua kos ditanggung oleh Petrofac.

PETRONAS Carigali Sdn. Bhd. dengan ini menguatkuasakan hak indemniti yang diberikan oleh syarikat tuan kepada pihak kami menurut Perkara 39 Kontrak No. CHO/2010/DPG/228 bertarikh 20 April 2011 bagi kerja-kerja Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan, Pemasangan dan Pentauliahan Sistem Pengeluaran Awal Sepat.
Indemniti tersebut mewajibkan syarikat tuan untuk melindungi serta memastikan syarikat kami dan semua syarikat bersekutu kami tidak menanggung sebarang kerugian, tuntutan, permintaan, kos, caj dan perbelanjaan yang timbul akibat sebarang dakwaan atau pelanggaran sebenar terhadap mana-mana paten, reka bentuk atau cap dagangan yang berpunca daripada pelaksanaan Kontrak No. CHO/2010/DPG/228 oleh syarikat tuan.
Namun, PETRONAS benar-benar gagal menggunakan hak indemniti tersebut sebaliknya akur kepada Petrofac.
Maka jika arahan Perdana Menteri 9 Dato’ Sri Ismail Sabri dilanggar segala bentuk tawaran penyelesaian kos lebih rendah ditolak, gagal menggunakan klausa indemniti dan terus memilih Petrofac yang terbukti mempunyai sejarah sabitan salah laku rasuah telah menimbulkan persoalan besar mengapa Petrofac begitu Istimewa di mata Tengku Taufik. Begitu kebal Petrofac dimata Tengku Taufik.

MANA SPRM?
Pada Mei 2023 SPRM memaklumkan telah menerima aduan rasmi dan membuka kertas siasatan. SPRM mengesahkan terdapat kelemahan proses tender PETRONAS terhadap Petrofac itu. Namun Tan Sri Azam Baki Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak meneruskan kes itu kerana arahan pihak atasan untuk menyelamatkan Tengku Taufik.
Pendedahan dua surat Kingtime memberikan asas baharu untuk SPRM meneliti proses membuat keputusan di PETRONAS. Apakah jawapan yang diterima oleh pejabat Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri ketika itu berhubung penyelesaian Kingtime dan Petronas. Mengapa syor yang dicadang tidak dilaksanakan mengelak kerugian lebih besar?
Dakwaan kewujudan draf ‘charge sheet’
The Corporate Secret sebelum ini turut mendedahkan terdapat draf kertas pertuduhan atau “charge sheet” terhadap Tengku Taufik yang kemudiannya tidak diteruskan ketika PM9. Ini disaksikan peguam terkenal seperti Ragunath Kesavan (bekas Presiden Badan Peguam Malaysia (Malaysian Bar) dan beberapa individu yang dipanggil oleh PM9 namun tidak dilaksanakan memandangkan Tengku Taufik ketika itu disokong penuh oleh Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz Menteri Kewangan dan istana.

Maka ada baiknya SPRM meneruskan ‘Charge Sheet’ kepada Tengku Taufik untuk menyingkirkan beliau daripada Petronas!

