
Platform mesej dalam talian Telegram mematuhi perintah Mahkamah Tinggi agar penyebaran bahan menyinggung oleh saluran ‘pemberi maklumat’ Edisi Siasat dan Edisi Khas dihentikan.
Semakan di Telegram menunjukkan saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas telah disekat petang semalam, dengan pengguna dimaklumkan bahawa siarannya ‘tidak boleh dipaparkan kerana melanggar undang-undang tempatan’.
Edisi Siasat tidak popular berbanding Edisi Siasat namun kandungannya mirip menyerang pegawai kanan pasukan polis dan keselamatan
Langkah ini diambil oleh Telegram bagi mematuhi injunksi interim yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.
Semalam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berjaya memperoleh perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi ke atas dua saluran Telegram, Edisi Siasat dan Edisi Khas.
Menurut SKMM, kedua-dua saluran itu dikenal pasti menyebarkan kandungan didapati melanggar peruntukan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu berpotensi menghakis kepercayaan terhadap institusi awam negara serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.
Saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas menerbitkan dakwaan gaya pemberi maklumat, terutamanya menyasarkan institusi awam dan agensi penguatkuasaan.
Walaupun tidak diiktiraf rasmi, siaran di kedua-dua saluran ini sering mendapat perhatian dan mencetuskan perdebatan awam.
SKMM mengingatkan platform media sosial bahawa mereka mempunyai kewajipan untuk memastikan kandungan di platform mereka tidak melanggar undang-undang Malaysia.
Pihak suruhanjaya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sama terhadap platform lain bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna terus terpelihara, tegasnya.
Bagaimanapun selepas sekatan Edisi Siasat yang asal semalam didapati wujudnya Edisi Siasat saluran kedua yang baharu di Telegram. Sejak semalam dilaporkan Edisi Siasat 2 telah dilanggan lebih 50 ribu dalam tempoh kurang 24 jam.