
Sabah Development Bank Berhad (SDB), sebuah institusi kewangan milik penuh Kerajaan Negeri Sabah, telah mengambil langkah drastik dengan memfailkan saman sivil terhadap firma audit antarabangsa terkemuka, Ernst & Young PLT (EY), menuntut ganti rugi berjumlah RM1.97 bilion. Dakwaan utama yang dikemukakan adalah bahawa Ernst & Young telah gagal menjalankan audit secara profesional dan berintegriti dari tahun 2017 hingga 2022, menyebabkan kerugian besar kepada bank tersebut.
Audit Cacat, Bank Menanggung Derita
Dalam penyata tuntutan setebal lebih 100 muka surat yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, SDB mendakwa bahawa Ernst & Young gagal melaksanakan tanggungjawab profesional sebagai juruaudit luar sepanjang tempoh tahunkewangan 2017 hingga 2022.
Apakah Kesalahan Audit Ernst & Young terhadap Sabah Development Bank (SDB)?
Sabah Development Bank Berhad (SDB) mendakwa firma audit antarabangsa Ernst & Young telah melakukan kecuaian audit serius yang menyebabkan kerugian besar kepada institusi kewangan itu. Berikut adalah kesalahan-kesalahan utama yang disenaraikan dalam tuntutan mahkamah:
1. Kegagalan Mengesan Pinjaman Bermasalah (NPL)
– EY gagal mengenal pasti pinjaman tidak berbayar (NPL) yang kini mencecah lebih RM2.2 bilion.
– Laporan audit yang dikemukakan memberi gambaran palsu bahawa tahap kredit pelanggan adalah sihat, sedangkan ramai peminjam berisiko tinggi dan tidak mempunyai cagaran mencukupi.
2. Penilaian Cagaran Lapuk & Salah
– EY menggunakan laporan penilaian cagaran yang sudah lapuk dan tidak dikemaskini, menyebabkan nilai aset dicatat secara tidak tepat dalam laporan kewangan SDB.
- Ini menimbulkan risiko besar dalam keupayaan bank menuntut semula pinjaman sekiranya berlaku kegagalan bayaran.
3. Kelemahan Kawalan Dalaman dan Penilaian Risiko
– EY gagal mengesan kelemahan dalam sistem kawalan dalaman SDB, khususnya dalam pemantauan pinjaman, tatacara kelulusan kredit dan pematuhan terhadap dasar risiko dalaman.
– Kegagalan ini menyebabkan banyak pinjaman diluluskan tanpa penilaian sewajarnya, termasuk kepada syarikat kroni politik.
4. Laporan Kewangan Mengelirukan & Cukai Salah
– EY menyediakan penyata kewangan yang mengelirukan, menyebabkan SDB mengisytiharkan dividen sebanyak RM177 juta dan membayar cukai berdasarkan keuntungan palsu.
– Keputusan ini telah memberi kesan kepada dasar kewangan kerajaan negeri dan pelabur yang bersandarkan kepada laporan tersebut.
5. Perakaunan Kreatif & “Evergreening” Pinjaman
– EY secara langsung membenarkan amalan “perakaunan kreatif” (creative accounting) dan “penghijauan pinjaman” (evergreening) iaitu memberi pinjaman baharu kepada peminjam gagal semata-mata untuk menampung tunggakan pinjaman lama.
– Ini telah menyembunyikan kerugian sebenar SDB serta menghalang pengesanan awal kegagalan operasi kewangan.
Audit EY dalam tempoh lima tahun itu dilaporkan menunjukkan bahawa SDB mencatat keuntungan konsisten sekitar RM680 juta, sedangkan audit tahun 2023 yang dilakukan oleh pengurusan baharu mendedahkan kerugian sebenar mencecah RM878 juta, dengan unjuran rugi tambahan melebihi RM100 juta untuk tahun 2024.
Shafie Apdal: Lupus Hutang kroni & Beri Pinjaman Baharu kepada syarikat NPL
Pendedahan mengejut turut dibuat oleh sumber dalaman kerajaan negeri bahawa semasa era pentadbiran Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri (2018–2020), beberapa tindakan luar biasa telah dilakukan terhadap pinjaman bermasalah.
Antaranya:
1. Pelupusan hutang berskala besar melibatkan syarikat kroni tertentu tanpa justifikasi kewangan yang kukuh. Antara syarikat yang dikenal pasti ialah CONSTRUCTION AND SUPPLIES HOUSE BHD (CASH) milik kroni Shafie Apdal Datuk Joseph Lee Yok Min @ Datuk Ambrose Lee bernilai RM178 juta.
2. Beberapa syarikat yang telah dikelaskan sebagai NPL masih menerima pinjaman baharu daripada SDB atas kelulusan dalaman tertentu. Aktiviti “roll-over” hutang di mana syarikat bermasalah diberi pinjaman baharu bagi menampung pinjaman lama – satu kaedah yang lazimnya bertujuan menyembunyikan kegagalan bayaran balik.

Semua tindakan ini menjurus kepada lonjakan mendadak kadar NPL dalam SDB selepas tahun 2020, sekali gus menjejaskan kestabilan institusi kewangan yang bertanggungjawab membangunkan ekonomi Sabah.
Ernst & Young Dipersalahkan
Menurut pihak SDB, Ernst & Young sepatutnya mendedahkan dan mengesan semua anomali ini dalam audit mereka, namun gagal berbuat demikian. Laporan audit tahunan yang dibentangkan oleh EY bukan sahaja gagal memberi amaran terhadap kelemahan dalaman, malah memberikan gambaran bahawa SDB berada dalam kedudukan kewangan yang kukuh.
Tindakan ini disifatkan sebagai “penipuan audit”, kerana laporan yang diberikan telah digunakan oleh kerajaan negeri untuk membuat keputusan kewangan tanpa menyedari keadaan sebenar yang meruncing.
“Audit Bertopeng Keuntungan Palsu”
Tindakan saman ini hanya dimulakan apabila Menteri Kewangan Sabah sekarang, Datuk Seri Masidi Manjun, mendedahkan pada Ogos 2024 bahawa hasil audit EY secara sistematik telah menutup kerugian sebenar SDB melalui helah perakaunan, antaranya:
1. Melupuskan hutang tanpa rekod wajar.
2. Merekodkan keuntungan atas kertas walaupun bayaran balik tidak diterima.
3. Memanipulasi nilai aset dan liabiliti bagi menunjukkan imbangan akaun positif.
4. “Audit EY mencipta keuntungan yang tidak wujud. Ini bukan sekadar kecuaian — ini adalah penipuan terhadap institusi kewangan negeri,” kata Masidi dalam satu sidang media tahun lalu.
Prosiding Mahkamah
Kes ini kini berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Hakim Puan Ros Mawar binti Rozain telah menetapkan 2 Julai 2025 sebagai tarikh baharu untuk pengurusan kes. Kedua-dua pihak diarahkan menyediakan dokumen dan hujahan lanjut sebelum tarikh perbicaraan penuh ditetapkan.
Jika SDB berjaya dalam tuntutannya, ini akan menjadi antara pampasan audit terbesar yang pernah diperolehi oleh mana-mana institusi kewangan milik kerajaan di Malaysia.
Apakah SPRM akan siasat?
Susulan pendedahan ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat beberapa syarikat yang dikaitkan dengan pinjaman tidak berbayar tersebut, termasuk individu yang berperanan meluluskan pinjaman sewaktu pentadbiran Shafie Apdal.
Tindakan saman terhadap Ernst & Young ini menjadi isyarat jelas bahawa Kerajaan Negeri Sabah di bawah pentadbiran baharu tidak akan berkompromi dengan salah urus dan penipuan kewangan, walaupun melibatkan syarikat antarabangsa.
Ia juga membuka jalan kepada reformasi tadbir urus kewangan lebih telus dan berasaskan integriti — dengan memastikan bahawa setiap ringgit dana awam yang disalurkan melalui institusi kewangan negeri akan dipantau secara ketat dan bebas daripada pengaruh politik.