Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan percanggahan antara dokumentasi bil muatan (Bill of Lading atau BL) dan pergerakan fizikal kargo dalam rantaian bekalan petroleum di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor, termasuk meneliti sebarang urus niaga yang dikaitkan dengan Trafigura Group Pte. Ltd.
Menurut sumber, siasatan yang sedang dijalankan tertumpu kepada dakwaan ketidakselarasan antara dokumen penghantaran dan pengendalian sebenar kargo yang dikatakan melibatkan transaksi petroleum bernilai jutaan ringgit. Aduan yang dikemukakan kepada SPRM turut didakwa menyentuh urus niaga berkaitan Trafigura Group Pte. Ltd sebuah syarikat perdagangan komoditi multinasional berpangkalan di Singapura yang merupakan antara pedagang minyak dan bahan mentah terbesar di dunia.
Sumber turut memaklumkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy, telah bertemu pegawai SPRM di Putrajaya pada awal Mei lalu bagi menyerahkan maklumat berkaitan aduan tersebut. Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang serbuan, reman atau pertuduhan difailkan terhadap mana-mana individu atau syarikat dan siasatan pihak berkuasa masih berjalan.

Kes tersebut muncul ketika industri maritim dan perdagangan komoditi global semakin memberi perhatian terhadap risiko ketidakpadanan antara dokumentasi penghantaran dan kedudukan sebenar kargo, khususnya dalam urus niaga petroleum yang melibatkan pelbagai pihak dalam rantaian bekalan.
Pada 13 Mei lalu, Jeyenderan memberi amaran bahawa percanggahan antara bil muatan dan pergerakan fizikal kargo kini menjadi antara risiko operasi dan pematuhan paling serius dalam sektor perkapalan serta perdagangan komoditi antarabangsa.
Menurut beliau, bil muatan bukan sekadar dokumen penghantaran biasa, sebaliknya menjadi asas kepada transaksi perbankan, perlindungan insurans, pengisytiharan Kastam, pembuktian pemilikan kargo serta pematuhan terhadap sekatan perdagangan antarabangsa.
“Risiko terbesar kepada ejen perkapalan berlaku apabila pergerakan fizikal kargo dan dokumentasi tidak lagi seiring. Sebarang ketidakpadanan antara pengendalian operasi dan dokumen boleh mendedahkan semua pihak dalam rantaian bekalan kepada risiko yang besar,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa cabaran tersebut menjadi lebih rumit dalam perdagangan minyak apabila ejen perkapalan menerima arahan daripada pelbagai pihak termasuk pedagang komoditi, penerima kargo, pengendali terminal, ejen penghantaran dan penyedia logistik yang tidak semestinya selaras dengan bil muatan asal.
Menurut beliau, amalan pencampuran minyak (blending) dan penggabungan stok (commingling) selepas pelepasan kargo bukan sesuatu yang luar biasa dalam industri. Namun, kebolehkesanan (traceability) sesuatu kargo menjadi semakin sukar apabila produk memasuki sistem penyimpanan dan bercampur dengan inventori sedia ada.
Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya rekod Kastam, dokumen bil muatan, ukuran tangki simpanan dan kedudukan sebenar kargo tidak lagi sepadan, industri berisiko kehilangan ketelusan terhadap pergerakan produk petroleum. Keadaan tersebut boleh mewujudkan jurang pematuhan, mencetuskan pertikaian komersial serta menyebabkan kebocoran hasil yang akhirnya memberi kesan kepada sistem percukaian dan kawal selia negara.
SPRM, Kastam (JKDM), LHDN, Bank Negara, AKPS dan Polis (PDRM) dalam satu pasukan petugas khas (task force) bersepadu atau MATF (Multi-Agency Task Force) perlu menggerakkan operasi menangani ketirisan hasil negara, rasuah, dan sindiket melibatkan syarikat Trafigura Group.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) agensi tunggal menguruskan sempadan, menyelaras keselamatan, pemeriksaan, dan penguatkuasaan undang-undang di semua pintu masuk darat, laut, dan udara negara perlu lebih tegas
Rekod Kontroversi Antarabangsa Trafigura
Siapa Trafigura Group?
Trafigura Group Pte. Ltd. merupakan antara syarikat perdagangan komoditi terbesar di dunia yang terlibat dalam perdagangan minyak mentah, produk petroleum, gas asli, logam serta mineral. Syarikat itu diasaskan pada tahun 1993 dan beroperasi di puluhan negara melalui rangkaian perdagangan, penyimpanan, logistik marin, perlombongan dan infrastruktur tenaga global.
Trafigura berpangkalan di Singapura dan mengendalikan operasi perdagangan komoditi merentasi Asia, Eropah, Timur Tengah, Afrika serta Amerika. Kumpulan itu mempunyai lebih 12,000 kakitangan di seluruh dunia dan merupakan antara pedagang bebas terbesar dalam sektor tenaga dan bahan mentah global.
Sejak 1 Januari 2025, jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Trafigura disandang oleh Richard Holtum yang sebelum itu mengetuai bahagian Gas, Kuasa dan Tenaga Boleh Baharu syarikat tersebut. Beliau mengambil alih jawatan berkenaan daripada Jeremy Weir yang kini berkhidmat sebagai Pengerusi Kumpulan.


Kontroversi, Tindakan Penguatkuasaan dan Siasatan Antarabangsa
1. Kes Rasuah Petrobras: Trafigura mengaku bersalah di Amerika Syarikat
Pada Mac 2024, Trafigura mengaku bersalah di mahkamah persekutuan Amerika Syarikat atas satu pertuduhan konspirasi melanggar peruntukan antirasuah di bawah Foreign Corrupt Practices Act (FCPA). Pengakuan bersalah itu dibuat sebagai sebahagian daripada penyelesaian siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berhubung dakwaan pembayaran rasuah kepada pegawai syarikat minyak milik kerajaan Brazil, Petrobras.

Menurut dokumen mahkamah dan kenyataan DOJ, skim rasuah tersebut didakwa berlangsung antara tahun 2003 hingga 2014, apabila Trafigura dan beberapa pihak lain didakwa menggunakan perantara, syarikat cangkerang serta akaun luar pesisir untuk menyalurkan bayaran kepada pegawai Petrobras bagi mendapatkan dan mengekalkan kontrak perdagangan minyak. Pendakwa raya mendakwa bayaran rasuah yang dijanjikan mencecah sehingga 20 sen bagi setiap tong minyak yang dibeli atau dijual kepada Petrobras melalui urus niaga yang berkaitan.
DOJ turut menyatakan bahawa skim tersebut membolehkan Trafigura memperoleh keuntungan sekitar AS$61 juta daripada perniagaan yang diperoleh melalui amalan rasuah tersebut. Sebahagian daripada pembayaran didakwa disamarkan sebagai komisen atau bayaran perundingan, manakala dana disalurkan melalui rangkaian perantara bagi menyembunyikan penerima sebenar pembayaran berkenaan.
Sebagai sebahagian daripada penyelesaian kes, Trafigura bersetuju membayar kira-kira AS$127 juta, yang terdiri daripada denda jenayah sekitar AS$80.5 juta dan pelucuthakan keuntungan sebanyak AS$46.5 juta. Penyelesaian itu menamatkan siasatan DOJ yang telah berlangsung selama beberapa tahun terhadap aktiviti syarikat tersebut di Brazil.
Kes Petrobras merupakan sebahagian daripada skandal rasuah besar Brazil yang dikenali sebagai Operação Lava Jato (Operation Car Wash), yang mendedahkan rangkaian rasuah melibatkan kontrak Petrobras dan membawa kepada pendakwaan puluhan ahli politik, ahli perniagaan serta eksekutif korporat. Trafigura menjadi antara beberapa syarikat perdagangan komoditi global yang terpalit dalam siasatan tersebut, bersama pesaing industri seperti Glencore dan Vitol yang turut berdepan tindakan penguatkuasaan berkaitan rasuah antarabangsa.
Bagi Trafigura, pengakuan bersalah pada tahun 2024 merupakan pengakuan rasmi pertama syarikat itu terhadap salah laku yang dikaitkan dengan skandal Petrobras. Dalam kenyataannya, syarikat tersebut menyifatkan perbuatan berkenaan sebagai tindakan sejarah yang melibatkan bekas pekerja dan ejen syarikat, serta menegaskan bahawa perlakuan tersebut tidak mencerminkan nilai dan standard pematuhan yang diamalkan oleh kumpulan itu pada masa kin
2. Perbicaraan Rasuah Angola di Switzerland
Pada penghujung tahun 2024, Trafigura berdepan perbicaraan jenayah berprofil tinggi di Switzerland berhubung dakwaan rasuah yang melibatkan urusan perdagangan minyak dengan syarikat minyak milik kerajaan Angola, Sonangol. Kes itu menjadi perhatian antarabangsa kerana ia merupakan antara tindakan penguatkuasaan terbesar yang pernah diambil terhadap sebuah syarikat perdagangan komoditi global berkaitan dakwaan rasuah dalam sektor tenaga.
Perbicaraan yang dibuka pada 2 Disember 2024 menyaksikan pendakwa raya Switzerland mendakwa bahawa lebih AS$5 juta telah disalurkan kepada seorang pegawai kanan Sonangol melalui beberapa perantara bagi membantu Trafigura memperoleh kontrak perdagangan minyak mentah dan perkapalan antara tahun 2009 hingga 2011. Pendakwa raya turut berhujah bahawa sistem pematuhan dan kawalan antirasuah syarikat ketika itu gagal menghalang perlakuan berkenaan walaupun transaksi yang dilakukan melibatkan risiko rasuah yang tinggi.

Selain menyasarkan syarikat, pendakwaan turut melibatkan beberapa individu termasuk bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Trafigura, Mike Wainwright. Pihak pendakwa mendakwa terdapat kelemahan ketara dalam pengawasan korporat yang membolehkan pembayaran kepada perantara digunakan sebagai saluran untuk menyembunyikan bayaran rasuah kepada pegawai kerajaan asing. Trafigura bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa program pematuhan serta kawalan antirasuah syarikat ketika itu memenuhi keperluan undang-undang dan piawaian korporat yang berkuat kuasa.
Pada 9 Disember 2024, pendakwa raya Switzerland meningkatkan tekanan terhadap syarikat itu apabila menuntut penalti dan pampasan melebihi AS$156 juta terhadap Trafigura. Mereka juga memohon hukuman penjara terhadap Mike Wainwright atas peranannya dalam urusan yang menjadi subjek perbicaraan tersebut. Tuntutan itu mencerminkan keseriusan pihak pendakwa dalam usaha membuktikan bahawa syarikat perdagangan komoditi antarabangsa tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab jenayah sekiranya gagal mencegah amalan rasuah dalam operasi global mereka.
Kes tersebut akhirnya mencapai kemuncaknya pada 31 Januari 2025 apabila Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland memutuskan bahawa Trafigura dan Mike Wainwright bersalah dalam kes rasuah yang berkaitan dengan kontrak Sonangol. Mahkamah mendapati syarikat itu gagal mengambil langkah yang mencukupi untuk menghalang pembayaran rasuah kepada pegawai awam asing melalui rangkaian perantara yang digunakan dalam urusan perdagangan minyak di Angola.
Susulan keputusan tersebut, mahkamah mengarahkan Trafigura membayar denda dan pampasan berjumlah lebih AS$148 juta. Keputusan itu dianggap sebagai satu tamparan besar kepada reputasi syarikat yang berpangkalan di Singapura tersebut, selain menjadi antara sabitan rasuah korporat paling signifikan dalam sejarah sektor perdagangan komoditi global. Kes Sonangol turut dijadikan contoh oleh pengawal selia dan badan penguat kuasa antarabangsa mengenai kepentingan tadbir urus korporat, pematuhan antirasuah dan pengawasan dalaman yang berkesan dalam industri perdagangan tenaga dan bahan mentah.
3. Penipuan Nikel Bernilai Hampir AS$700 Juta
Pada 2023, Trafigura mendedahkan bahawa ia menjadi mangsa salah satu penipuan komoditi terbesar dalam sejarah industri apabila penghantaran yang didakwa mengandungi nikel sebenarnya mengandungi bahan bernilai jauh lebih rendah.
Kes tersebut menyebabkan kerugian ratusan juta dolar Amerika dan mencetuskan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi London. Pada 2026, mahkamah mengiktiraf bahawa Trafigura merupakan mangsa penipuan berskala besar dalam transaksi tersebut.
4. Skandal Mongolia: Kerugian AS$1.1 Bilion Goncang Trafigura
Pada 30 Oktober 2024, Trafigura mengumumkan bahawa siasatan dalaman yang disusuli audit forensik bebas telah mendedahkan salah laku serius dalam operasi pembekalan produk petroleum syarikat itu di Mongolia. Menurut syarikat tersebut, beberapa individu dalam operasi tempatan didapati memanipulasi data dan dokumen, menyebabkan bayaran berlebihan dibuat oleh Trafigura serta menyembunyikan hutang dan akaun belum terima yang telah lama tertunggak.
Trafigura memaklumkan bahawa penyelewengan itu berlaku selama kira-kira lima tahun dan melibatkan rangkaian transaksi yang kompleks dengan beberapa rakan niaga tempatan. Siasatan luar yang dijalankan kemudiannya mengesahkan bahawa syarikat berdepan pendedahan kerugian sehingga AS$1.1 bilion, menjadikannya antara kerugian terbesar dalam sejarah kumpulan perdagangan komoditi tersebut.

Menurut laporan Reuters, sebahagian besar kerugian itu berpunca daripada hutang yang diakui oleh rakan niaga utama Trafigura di Mongolia. Bagaimanapun, syarikat itu turut berusaha mengesan kira-kira AS$500 juta lagi yang masih tidak dapat dijelaskan dalam siasatan berkenaan.
Skandal tersebut memberi kesan ketara kepada kedudukan kewangan Trafigura. Dalam keputusan kewangan yang diterbitkan pada Disember 2024, syarikat itu menyemak semula keuntungan tahun-tahun terdahulu dan melaporkan keuntungan bersih tahunan merosot sekitar 60% kepada AS$2.8 bilion, sebahagiannya akibat peruntukan kerugian berkaitan kes Mongolia.
Perkembangan baharu pada Mac 2025 turut mendedahkan bahawa ketua operasi Trafigura di Mongolia ketika itu telah digantung tugas selepas siasatan mendapati lebih AS$500 juta dana syarikat disalurkan kepada sebuah syarikat tempatan yang dimiliki oleh ahli keluarganya. Pendedahan tersebut menimbulkan persoalan mengenai pengawasan dalaman dan konflik kepentingan dalam operasi syarikat di negara itu.
Susulan skandal berkenaan, Trafigura melaksanakan semakan menyeluruh terhadap tadbir urus korporat, kawalan dalaman dan sistem pengurusan risiko di seluruh rangkaian operasinya. Syarikat itu menyatakan bahawa masalah di Mongolia ditemui hasil daripada proses semakan pematuhan yang diperketatkan selepas syarikat turut mengalami kerugian besar akibat skandal penipuan nikel bernilai AS$577 juta pada tahun 2023.
5.Skandal Sisa Toksik Probo Koala di Pantai Gading, Afrika Barat
Salah satu kontroversi paling besar yang pernah dikaitkan dengan Trafigura ialah skandal pembuangan sisa toksik Probo Koala di Abidjan, Côte d’Ivoire (Pantai Gading), Afrika Barat pada tahun 2006. Pada Ogos tahun tersebut, kapal Probo Koala yang disewa oleh Trafigura dilaporkan menurunkan kira-kira 500 tan sisa buangan yang dikategorikan sebagai toksik di Pelabuhan Abidjan. Sisa berkenaan kemudiannya dibuang di beberapa lokasi sekitar bandar itu oleh kontraktor tempatan, mencetuskan kebimbangan kesihatan awam yang serius.

Menurut kerajaan Pantai Gading dan pelbagai laporan antarabangsa, kejadian tersebut menyebabkan puluhan ribu penduduk mendapatkan rawatan perubatan akibat simptom seperti pening, muntah, masalah pernafasan serta kerengsaan kulit. Insiden itu seterusnya mencetuskan tindakan undang-undang dan litigasi rentas sempadan di beberapa negara termasuk Pantai Gading, United Kingdom dan Belanda. Trafigura kemudiannya bersetuju membayar pampasan dalam beberapa penyelesaian kes, namun syarikat itu secara konsisten menafikan bahawa sisa berkenaan secara langsung menyebabkan kematian atau kecederaan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Skandal Probo Koala kekal sebagai antara episod paling kontroversi dalam sejarah Trafigura dan sering dirujuk sehingga hari ini apabila membincangkan rekod pematuhan alam sekitar serta pengurusan risiko korporat syarikat perdagangan komoditi global tersebut.
6. Skandal Trafigura Indonesia: Siasatan Rasuah Minyak Bernilai US$17.6 Bilion Yang Semakin Meluas
Pada Julai 2025, Pejabat Peguam Negara Indonesia (AGO) menahan seorang pekerja syarikat perdagangan komoditi global, Trafigura Group, bersama tujuh individu lain sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah berskala besar yang melibatkan syarikat tenaga milik kerajaan, PT Pertamina. Kes tersebut tertumpu kepada dakwaan penyelewengan dalam proses perolehan minyak antara tahun 2018 hingga 2023 dan kini dianggap antara siasatan rasuah terbesar serta paling signifikan yang pernah dijalankan di Indonesia dalam beberapa dekad.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan AGO mengesahkan bahawa lapan suspek telah ditahan manakala seorang lagi individu yang dipercayai berada di luar negara sedang diburu pihak berkuasa. Siasatan itu melibatkan dakwaan salah laku dalam aktiviti eksport dan import petroleum, urusan penyewaan kapal serta terminal, selain skim pampasan produk petroleum yang dipercayai menyebabkan kerugian besar serta menimbulkan persoalan serius terhadap integriti proses perolehan dalam sektor tenaga negara tersebut.

Penglibatan Trafigura Group di Malaysia
Trafigura Group merupakan antara syarikat perdagangan komoditi terbesar dunia dengan aktiviti merangkumi petroleum, logam, mineral dan logistik komoditi. Di Malaysia, syarikat itu tidak mempunyai operasi runcit seperti Petronas, Shell atau Petron. Sebaliknya, kehadirannya tertumpu kepada perdagangan komoditi, penyimpanan petroleum, logistik dan perdagangan logam melalui rangkaian terminal serta kerjasama dengan rakan industri tempatan.
1. Terminal Petroleum Tanjung Langsat, Johor
Antara pelaburan paling penting yang dikaitkan dengan Trafigura di Malaysia ialah pembangunan kemudahan penyimpanan petroleum di Tanjung Langsat, Johor. Pada 25 September 2009, fasa pertama terminal tersebut mula beroperasi melalui usaha sama antara Puma Energy (anak syarikat Trafigura ketika itu), MISC Berhad dan Dialog Group Berhad.
Fasa pertama mempunyai kapasiti penyimpanan sebanyak 130,000 meter padu dan digunakan untuk produk petroleum bersih seperti nafta, diesel dan bahan api penerbangan. Fasa kedua pula menambah kapasiti sebanyak 270,000 meter padu bagi penyimpanan fuel oil, menjadikan kapasiti keseluruhan terminal mencecah 400,000 meter padu.

Kedudukan Tanjung Langsat yang berhampiran Singapura menjadikannya lokasi strategik untuk perdagangan dan penyimpanan petroleum serantau. Pada tempoh yang sama, Trafigura turut memiliki dan menyewa beberapa kemudahan penyimpanan lain di Johor serta menggunakan kemudahan penyimpanan terapung di perairan Malaysia bagi menyokong aktiviti perdagangan minyak globalnya.
2. 2012: Masteel Meterai Kontrak RM500 Juta Dengan Trafigura
Pada 27 Jun 2012, Malaysia Steel Works (KL) Bhd (Masteel) mengumumkan pemeteraian satu perjanjian offtake bernilai RM500 juta dengan Trafigura Pte Ltd.
Perjanjian selama tiga tahun itu melibatkan pembelian dan pemasaran steel billets serta steel bars keluaran Masteel bagi pasaran serantau dan antarabangsa. Kerjasama tersebut dilihat sebagai langkah strategik untuk memperluaskan akses Masteel kepada rangkaian perdagangan global Trafigura yang ketika itu merupakan antara pedagang komoditi terbesar dunia.

Menurut Masteel, kontrak tersebut memberikan jaminan pasaran bagi sebahagian pengeluaran syarikat serta membantu meningkatkan kecekapan operasi dan kestabilan pendapatan. Trafigura pula menyifatkan Malaysia sebagai antara pasaran utama dalam strategi pertumbuhannya di Asia.
Majlis menandatangani perjanjian itu disempurnakan oleh Dato’ Sri Tai Hean Leng bagi pihak Masteel dan Dominic Watters bagi pihak Trafigura. Majlis tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu, Datuk Jacob Dungau Sagan.
Siapa Masteel dan Dato’ Sri Tai Hean Leng?


3. 2025: Trafigura Hantar Hampir 100,000 Tan Aluminium Ke Pelabuhan Klang
Malaysia turut memainkan peranan penting dalam rangkaian perdagangan logam antarabangsa Trafigura.
Pada November 2025, Reuters melaporkan bahawa Trafigura telah menghantar hampir 100,000 tan aluminium ke gudang berdaftar London Metal Exchange (LME) di Pelabuhan Klang.
Penghantaran tersebut menyebabkan stok aluminium di gudang LME Pelabuhan Klang meningkat kepada 366,850 tan. Menurut sumber industri yang dipetik Reuters, sebahagian besar aluminium tersebut telah didaftarkan di bawah waran LME yang membolehkan logam berkenaan didagangkan dalam sistem bursa logam antarabangsa tersebut.

Laporan Reuters turut menyebut bahawa urus niaga tersebut mungkin berkaitan strategi perdagangan dan pembiayaan logam yang melibatkan insentif kewangan serta perjanjian sewaan gudang, walaupun Trafigura enggan mengulas mengenai perkara itu.
Perkembangan tersebut menunjukkan bahawa Pelabuhan Klang terus menjadi antara lokasi penyimpanan logam yang penting dalam rangkaian perdagangan komoditi global.
Malaysia Sebagai Hub Perdagangan Serantau
Walaupun ibu pejabat global Trafigura berada di Singapura, Malaysia memainkan peranan penting dalam rangkaian logistik dan penyimpanan syarikat tersebut di Asia Tenggara.
Daripada terminal petroleum di Tanjung Langsat sehinggalah kepada penyimpanan logam di Pelabuhan Klang, Malaysia menjadi sebahagian daripada infrastruktur yang menyokong perdagangan tenaga dan komoditi antarabangsa yang dikendalikan oleh Trafigura.
Kontroversi Antarabangsa dan Implikasinya
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Trafigura berdepan pelbagai tindakan penguatkuasaan dan kontroversi antarabangsa termasuk kes rasuah Petrobras di Brazil, kes Sonangol di Angola serta skandal kerugian melebihi AS$1 bilion yang melibatkan operasi pembekalan petroleum syarikat itu di Mongolia.
Susulan kemunculan nama Trafigura dalam aduan yang kini dikatakan sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan percanggahan bil muatan bernilai jutaan ringgit di Pelabuhan Tanjung Langsat, beberapa pemerhati industri berpendapat semua pihak yang dinamakan dalam aduan tersebut wajar disiasat secara menyeluruh. Langkah itu penting bagi memastikan ketelusan transaksi, integriti dokumentasi perdagangan, pematuhan terhadap peraturan kastam serta mengelakkan sebarang kemungkinan berlakunya manipulasi dalam rantaian bekalan petroleum.
Walaupun sehingga kini tiada sabitan mahkamah awam yang diketahui melibatkan Trafigura di Malaysia seperti yang berlaku dalam kes Petrobras, Sonangol atau skandal Mongolia, syarikat itu pernah disebut dalam beberapa laporan dan aduan berkaitan perdagangan petroleum serta aktiviti logistik kerana kedudukannya sebagai antara pedagang komoditi dan minyak terbesar di dunia. Perkembangan terbaru yang mengaitkan nama syarikat itu dengan dakwaan percanggahan bil muatan di Tanjung Langsat turut menarik perhatian pelbagai pihak dalam industri.
Memandangkan Malaysia merupakan lokasi penting dalam rangkaian perdagangan petroleum dan logam Trafigura di rantau ini, sebarang dakwaan yang melibatkan syarikat tersebut wajar diberikan perhatian serius oleh pihak berkuasa. Sekiranya terdapat asas dan bukti yang mencukupi, siasatan menyeluruh oleh SPRM serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dapat membantu menentukan sama ada berlaku sebarang pelanggaran undang-undang, ketidakpatuhan peraturan atau kelemahan pengawasan yang memerlukan tindakan lanjut.
