Buat kali ke-14, The Corporate Secret (TCS) berdepan sekatan akses di Malaysia. Bagi kami, ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Sejak awal, kami sedar bahawa setiap pendedahan mengenai dunia korporat, penyalahgunaan kuasa dan kepentingan tertentu pasti mengundang tekanan. Namun, sekatan terhadap sebuah laman sesawang tidak akan menghentikan usaha mencari dan mendedahkan kebenaran yang mempunyai kepentingan awam.
Satu demi satu episod lama telah berlalu. Rangkaian yang pernah dikaitkan dengan mafia korporat seperti Victor Chin Boon Long sudah menjadi sebahagian daripada sejarah pendedahan kami. Victor Chin pun dah lari keluar negara takut ditangkap polis dan ‘dikerjakan’ oleh kumpulan Ali Baba Dato’ Fam Chee Way (Dato’ Ben) kerana hutang ratusan juta dalam manipulasi saham syarikat senarai awam. Kini tiba masanya untuk membuka lembaran baharu. Banyak lagi persoalan yang masih menuntut jawapan, misalnya dakwaan yang mengaitkan mafia korporat bawah rantaian Dato’ Dr Alex Teh dengan pelbagai jaringan berkepentingan, termasuk pihak-pihak terkait dengan keluarga Timbalan Perdana Menteri serta beberapa kontroversi korporat lain yang wajar diberikan perhatian. Begitu juga skandal MBI yang semakin lesu. Apa yang pasti, setiap laporan akan terus berasaskan dokumen, fakta dan maklumat yang boleh dipertanggungjawabkan.
Kepada pembaca TCS, Kami hanya mampu bertahan dan mengambil sikap tenang di posisi. Ini bukan kali pertama kami disekat dan mungkin bukan yang terakhir. Selagi masih ada ruang untuk bersuara dan menyampaikan maklumat kepada rakyat, selagi itu The Corporate Secret akan terus bangkit, terus menyiasat dan terus membongkar apa yang perlu diketahui umum. Terus bangkit, terus bongkar.
Ketua Editor
The Corporate Secret
20.6.2026
