Ahli perniagaan, Liow Soon Hee atau lebih dikenali sebagai Nicky Liow, dibebaskan sepenuhnya daripada 26 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM36 juta selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadapnya.
Peguamnya, Datuk Rajpal Singh, berkata keputusan itu dibuat selepas AGC menerima dan mempertimbangkan surat representasi yang dikemukakan bagi pihak anak guamnya.
Menurut beliau, Nicky turut menyelesaikan tunggakan cukai sebanyak RM400,000 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi pertuduhan berkaitan Borang Nyata Cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan.
“Kami mengemukakan surat representasi kepada AGC dan mereka menerimanya. Beliau telah dibebaskan pada 15 Jun 2023,” katanya ketika dihubungi.
Mengikut pertuduhan asal, Nicky didakwa sebagai seorang pengarah syarikat yang terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram serta memiliki wang yang dipercayai hasil daripada aktiviti haram di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang antara tahun 2016 hingga 2021.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) dan Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA). Jika disabitkan kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun serta denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai wang yang terlibat atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

Kes terhadap Nicky bermula apabila beliau didakwa secara in absentia pada 9 April 2021 di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah terancang ketika masih diburu pihak berkuasa.
Beliau kemudian menyerah diri secara sukarela kepada polis pada 11 April 2022 sebelum didakwa sehari selepas itu atas 26 pertuduhan pengubahan wang haram.
Perkembangan kes turut menyaksikan Mahkamah Rayuan pada 7 Julai 2022 melepas dan membebaskan 14 individu, termasuk dua adik Nicky, daripada pertuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah terancang selepas AGC menerima representasi yang dikemukakan oleh semua perayu.
Pada 24 Julai 2023 pula, adiknya, Liow Wei Kin, turut dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram dan kesalahan berkaitan cukai selepas melunaskan kira-kira RM4.147 juta yang merangkumi tunggakan cukai, penalti khas, denda serta kompaun.
Nicky, yang merupakan pengasas Winner Dynasty Group, sebelum ini menjadi buruan polis susulan Op Pelican 3.0 yang dilancarkan pada Mac 2021 bagi membanteras sindiket Macau Scam.
Pada 26 April 2021, Istana Pahang turut menarik balik Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri yang pernah dikurniakan kepada beliau.
Baru-baru ini, nama Nicky kembali menjadi perhatian selepas sekeping gambar yang memaparkannya memakai baju Angkatan Muda Keadilan (AMK) bersama Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai status kes mahkamahnya.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, dilaporkan menegaskan bahawa Nicky bukan ahli parti itu dan tiada rekod menunjukkan beliau pernah mengemukakan permohonan keahlian.
Nicky kemudian menjelaskan bahawa baju AMK yang dipakainya dibeli ketika menghadiri satu program kebajikan dan tidak melambangkan keahlian atau hubungan rasmi dengan PKR.
