KUALA LUMPUR: Adik perempuan Ta Jin Kiat, Cheryl Ta Jia Ern, meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat beberapa pegawainya berhubung dakwaan tekanan terhadap abangnya untuk menandatangani borang pindah milik saham ketika berada dalam tahanan agensi itu pada Mac 2025.
Dalam teks aduan kepada SPRM yang menyatakan beliau turut membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pada 1 Oktober 2026, Cheryl menamakan Wong Yun Fui, yang disebut sebagai “Tuan Wong”, serta beberapa pegawai lain untuk disiasat berhubung pengendalian kes abangnya.

Aduan itu membangkitkan persoalan tentang akses dua adik tiri Ta Jin Kiat — Ta Wee Dher dan Ta Shun Dher — ketika beliau direman, bagaimana dokumen pindah milik saham ditandatangani, serta tindakan susulan terhadap laporan polis yang dibuatnya.
Cheryl, Ta Jin Kiat dan Kelvin Ta Jin Wei merupakan anak-anak mendiang Tan Sri Ta Kin Yan bersama isteri pertamanya, Madam Loo Lai Fong. Pertikaian saham itu melibatkan empat adik-beradik tiri mereka, iaitu Ta Wee Dher, Ta Shun Dher, Ta Hui May dan Ta Hui Hean.
Dakwaan tekanan dalam bilik tahanan
Menurut Cheryl, berdasarkan penjelasan abangnya serta laporan polis dan afidavit yang dirujuk dalam aduan, Ta Jin Kiat ditangkap pada 11 Mac 2025 menggunakan perintah menggeledah dan menyita bertarikh 10 Mac 2025 yang ditandatangani Wong Yun Fui

Beliau kemudian direman di ibu pejabat SPRM di Putrajaya sehingga 14 Mac 2025.
Cheryl mendakwa Wong membawa Ta Wee Dher dan Ta Shun Dher ke bilik temu duga tempat abangnya ditahan. Dalam pertemuan itu, Ta Jin Kiat didakwa diberitahu bahawa beliau berdepan hukuman penjara antara tiga hingga tujuh tahun dan pembatalan lesen perniagaan.
Wong juga didakwa menyerahkan sampul surat tebal kepada kedua-dua adik tiri tersebut dan mengarahkan Ta Jin Kiat menandatangani dokumen bagi menyelesaikan “semua permasalahan keluarga”.
Menurut aduan itu, Ta Jin Kiat menandatangani borang pindah milik saham dalam keadaan tertekan, tanpa akses kepada peguamnya sendiri dan tanpa diberikan salinan dokumen.
Beliau dibebaskan pada 14 Mac 2025 dengan bon jaminan SPRM yang ditandatangani Ta Shun Dher sebagai penjamin.
Saham dipindahkan walaupun arahan bantahan diberikan
Cheryl menyatakan abangnya menulis kepada syarikat-syarikat berkaitan dan setiausaha syarikat, Pook Jyh Long, pada 19 Mac 2025 untuk mengarahkan supaya sebarang pindah milik sahamnya tidak didaftarkan.
Peguamcara Ta Jin Kiat turut menulis kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 24 Mac 2025 dengan tujuan sama.
Bagaimanapun, menurut aduan tersebut, saham Ta Jin Kiat dalam 11 syarikat dipindahkan kepada empat adik-beradik tirinya pada 24 Mac 2025.

Cheryl meminta peranan Pook disiasat, termasuk dakwaan bahawa beliau melaksanakan pindah milik itu walaupun menerima arahan supaya tidak berbuat demikian. Aduan tersebut turut menyatakan Pook ialah anak saudara kepada Puan Sri Lim Chai Yin, ibu kepada empat adik-beradik tiri berkenaan.
Pada 13 Februari 2026, Ta Jin Kiat memfailkan guaman di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur, bernombor WA-22NCC-111-02/2026, bagi mendapatkan semula sahamnya.
Afidavit dirujuk sebagai asas tuntutan siasatan
Cheryl turut merujuk afidavit Ta Wee Dher bertarikh 12 Jun 2026 yang, menurut aduan itu, memperincikan hubungannya dengan pegawai SPRM sepanjang penahanan Ta Jin Kiat.
Antara perkara yang dikatakan terkandung dalam afidavit tersebut ialah pemberitahuan mengenai permohonan reman, pelantikan peguam untuk mewakili Ta Jin Kiat, kunjungan Ta Wee Dher dan Ta Shun Dher ke pejabat SPRM pada 13 Mac 2025 serta peranan seorang pegawai bernama ‘Tuan Wong’ yang mengiringi mereka menemui abangnya.
Aduan itu juga menyatakan Ta Wee Dher mengakui mengenali Wong secara profesional melalui siasatan SPRM terdahulu pada 2023.
Cheryl menjadikan butiran tersebut sebagai asas meminta hubungan antara pegawai terbabit dengan kedua-dua adik tirinya diperiksa. Dakwaan tekanan dan tujuan hubungan tersebut tetap memerlukan siasatan; butiran pertemuan yang dirujuk dalam aduan tidak dengan sendirinya membuktikan berlakunya pakatan jenayah.
Borang dikatakan disita SPRM, permohonan salinan tidak berjawab
Aduan tersebut turut membangkitkan nasib borang pindah milik saham yang dikatakan ditandatangani bagi manfaat Cheryl dan Kelvin.
Menurut Cheryl, firma guaman Tetuan Wong Kian Kheong menyatakan melalui surat bertarikh 23 dan 30 April 2025 bahawa borang tersebut berada dalam simpanan adik-beradik keluarga kedua dan hanya akan diserahkan kepada Cheryl serta Kelvin secara peribadi.
Selepas mereka menuntut dokumen itu pada 6 Mei 2025, firma berkenaan memaklumkan melalui surat bertarikh 17 Mei bahawa borang tersebut telah disita SPRM pada 5 Mei 2025.
Pegawai yang melakukan sitaan kemudian dinamakan sebagai Zainin bin Sarif Majan.
Cheryl mempersoalkan urutan kejadian tersebut dan meminta penjelasan tentang siapa yang menyaksikan tandatangan abangnya, lokasi dokumen asal serta sebab salinan tidak diberikan.
Menurutnya, Tetuan Azharudin & Associates menulis kepada Zainin pada 29 Mei 2025, dengan salinan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Tan Sri Azam Baki, untuk meminta salinan borang. Beliau mendakwa permohonan tersebut tidak menerima jawapan.
Jaminan berulang dan waran tangkap jadi persoalan
Cheryl turut meminta siasatan terhadap pegawai Stefan Lue Hsien Yang, yang menurutnya berulang kali melanjutkan bon jaminan Ta Jin Kiat sepanjang 2025.
Menurut aduan itu, jaminan dilanjutkan kira-kira setiap bulan dari April hingga November 2025 oleh Stefan, sebelum dilanjutkan lagi sehingga 17 Disember 2025 oleh seorang pegawai lain. Cheryl menyatakan, setakat pengetahuannya, abangnya tidak didakwa dalam tempoh tersebut.
Beliau kemudian mempersoalkan asas waran tangkap yang menurut aduan itu diperoleh pada 2 September 2026, serta kenyataan awam SPRM bertarikh 11 September 2026 yang meminta maklumat mengenai Ta Jin Kiat.
Cheryl mendakwa semakan peguamcara sekitar 15 September 2026 tidak menemukan kes terhadap abangnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, lalu meminta penjelasan mengenai rujukan kepada perbicaraan dalam kenyataan tersebut.
Kebimbangan terhadap keselamatan keluarga
Cheryl turut membantah penyiaran alamat kediaman Ta Jin Kiat yang, menurutnya, terkandung dalam kenyataan awam SPRM dan kemudian dikongsi secara meluas.
Beliau menyatakan abangnya mempunyai anak-anak kecil dan bimbang pendedahan alamat tersebut meningkatkan risiko gangguan terhadap isteri serta anak-anaknya.
Menurut aduan itu, Ta Jin Kiat kini takut akan keselamatan dirinya dan bimbang untuk pulang ke Malaysia.
Cheryl meminta SPRM mengeluarkan alamat kediaman tersebut daripada kenyataannya serta menilai keperluan perlindungan untuk keluarga.
Tuntut bukti dipelihara dan pegawai disiasat
Dalam aduannya, Cheryl turut merujuk laporan media mengenai dakwaan “mafia korporat” dan unit yang disebut sebagai “Section D”. Beliau meminta SPRM menentukan sama ada unit itu sama dengan “Cawangan Siasatan D” yang, menurutnya, dicop pada bon jaminan Ta Jin Kiat dan Kelvin.
Cheryl berkata media melaporkan mengenai pegawai Wong Yun Fui maka SPRM boleh mengesahkannya sendiri.
Beliau meminta rakaman CCTV bagi tempoh 11 hingga 14 Mac 2025, rekod pelawat, rekod tahanan, komunikasi pegawai dengan pihak berkaitan serta borang pindah milik saham dan rekod sitaan dipelihara segera.
Cheryl juga memohon supaya kelakuan pegawai yang dinamakan dirujuk kepada badan pengawasan sewajarnya, termasuk Jawatankuasa Aduan SPRM, dan status laporan polis abangnya dimaklumkan kepada keluarga.
Pegawai SPRM tidak wajar campurtangan pertikaian keluarga
Pertikaian antara Ta Jin Kiat dan Ta Wee Dher berhubung pembahagian harta pusaka mendiang bapa mereka sewajarnya diputuskan melalui proses mahkamah sivil. Namun, apakah asas dan keperluan campur tangan bahagian siasatan yang kini, menurut maklumat yang dikemukakan, berada di bawah Datuk Yuhafiz dan sebelum ini dikaitkan dengan Wong Yun Fui? Dakwaan penggunaan tekanan melalui media serta ugutan terhadap Ta Jin Kiat menuntut penjelasan: adakah siasatan dijalankan berasaskan bukti kesalahan, atau digunakan untuk mempengaruhi pertikaian harta antara ahli keluarga?
Tiga laporan polis Ta Jin Kiat, ditambah laporan polis terbaharu oleh dua adiknya, Cheryl Ta Jia Ern dan Kelvin Ta Jin Wei, memperincikan aduan serta kebimbangan keluarga mengenai tindakan terhadap beliau dalam pertikaian harta pusaka mendiang Tan Sri Ta Kin Yan. Pada Julai lalu, Dato’ Poh Po Lian, selaku pelaksana wasiat dan pemegang amanah harta pusaka mendiang, turut menjelaskan bahawa wasiat bertarikh 4 Februari 2008 menetapkan arahan yang jelas mengenai pentadbiran dan pembahagian harta pusaka tersebut. Menurut Poh, kandungan wasiat itu tidak meninggalkan banyak ruang untuk tafsiran berbeza, meskipun pertikaian keluarga masih berlarutan. Mahkamah Tinggi telah memberikan geran probet kepada beliau pada 11 Mac 2026 untuk mentadbir harta pusaka berkenaan.
Selain itu menurut sumber, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim, sudah mengetahui kes ini, termasuk dakwaan bahawa pegawai yang digelar “budak-budak Azam Baki” masih meneruskan siasatan dalam pertikaian harta keluarga mendiang Tan Sri Ta Kin Yan bagi memenuhi kehendak Ta Wee Dher dan pihak yang dikaitkan dengan “mafia korporat”. Lebih serius ialah dakwaan bahawa Ta Wee Dher membayar rasuah kepada Wong Yun Fui untuk menekan Ta Jin Kiat supaya menyerahkan keseluruhan harta yang didaftarkan atas namanya serta nama Dato’ Poh Po Lian pengasas bersama Waz Lian Group.

Pertukaran Wong Yun Fui ke Akademi Pencegahan Rasuah (MACA), bersama beberapa pegawai yang dikaitkan dengan Azam Baki, dilihat sebagai langkah Datuk Seri Abdul Halim untuk memutuskan pengaruh rangkaian yang didakwa mempunyai kaitan dengan “mafia korporat” dalam SPRM. Namun, pertukaran pegawai sahaja tidak memadai untuk memulihkan integriti institusi. Siasatan bebas mesti diteruskan bagi menguji dakwaan, membongkar sebarang salah laku dan memastikan setiap pihak yang terbukti terlibat dipertanggungjawabkan.
